Pernahkah anda terfikir untuk menjual produk dan perkhidmatan anda dengan menggunakan teknik pengiklanan radio? Menarik bukan. Anda perlu mencubanya!
Berapa ramai pengguna jalan raya yang terkandas di dalam sesebuah trafik pada waktu kemuncak yang mendengar siaran radio di awal pagi dan menjelang senja. Ini adalah waktu puncak yang selalunya ramai peniaga ambil peluang untuk keudarakan iklan radio mereka.
Mahal? Tak semestinya. Kos iklan di radio adalah tertakluk kepada jumlah pendengarnya dan sejauh mana ianya boleh didengari.
1) INFO RINGKAS
Berbeza dengan medium pengiklanan yang lain, pengiklanan radio hanya memerlukan durasi masa yang singkat. Jadi, pengiklanan produk anda hendaklah ringkas, padat dan jalan cerita yang digunakan tidak begitu panjang atau meleret. Ini bagi memastikan pendengar tidak bosan dan menunggu terlalu lama untuk memahami mesej yang ingin disampaikan.
2) IMAGINASI
Di dalam mempromosikan produk anda melalui pengiklanan radio, gunakan daya imaginasi yang kreatif di dalam mempengaruhi kuasa pembeli. Ini kerana kekurangan dari aspek visualize (paparan visual) di dalam pengiklanan radio hanya boleh ditangani dengan memberi sedikit sentuhan imaginasi kepada pendengar melalui kesan khas bunyi dan penggunaan perkataan yang boleh membangkitkan daya kreativiti pendengar.
3) JENAMA PRODUK
Melalui pengiklanan radio, jenama merupakan perkara penting di dalam mempromosikan produk perniagaan anda. Jenama produk anda haruslah kuat, mempunyai keistimewaan tersendiri dan memberi pengalaman yang baru dan berbeza apabila pelanggan menggunakannya. Dengan kekuatan jenama yang ada, pemasaran produk melalui pengiklanan radio dapat dilakukan dengan lebih efektif. Buat skrip supaya jenama produk anda diulang banyak kali supaya mudah diingati.
4) MANFAAT
Memandangkan pengiklanan radio bergantung hanya kepada kualiti audio semata-mata, ia juga memberi kelebihan dari aspek psikologi yang boleh memaparkan manfaat pembelian produk dengan lebih jelas tanpa gangguan visual yang boleh mengelirukan pelanggan. Produk yang banyak mendatangkan manfaat lebih mudah untuk dijual kerana pendengar hanya dapat membuat keputusan untuk membeli hanya dengan nilai tambah yang diberi oleh peniaga.
5) ULANG
Teknik pengulangan iklan yang dilakukan oleh mana-mana stesen radio tempatan pada hari ini adalah satu kebiasaan yang memberi kelebihan kepada peniaga. Walaupun pendengar tidak memberi perhatian terhadap mesej yang disampaikan, secara tidak langsung dengan pengulangan iklan yang kerap, ia akan membuatkan pendengar menyimpan mesej secara tidak sedar. Jadi, jangan terkejut sekiranya ada pelanggan yang boleh meniru bulat-bulat dialog bagi sesebuah iklan.